*************************************************************
:: UNTUK MAKLUMAN PEMBACA ::


Dengan rasa rendah diri, saya memohon sokongan semua pihak
yang ada maklumat berkaitan Waris Wan Mat Saman
untuk Merungkai Waris, Merentasi Sempadan...

Sila hubungi saya
azlanlinn@yahoo.com

*************************************************************

Thursday, February 18, 2010

Merungkai Waris : Bermulanya di sini - 3

Isnin - 15.02.10

Perancangan hari ini, kami akan merentas ke Felda Sungai Tiang, Pendang dan Kpg Tok Arang, Kodiang.

Jam 8.00 pagi:

Kami menerima tetamu di rumah Makcik Embun. TokNjang, dikirakan saudara sekampung dengan Makcik Embun yang pernah merantau di Kampung Permatang Raja, bersebelahan Kampung Matang Acheh, Perak. Beliau berumur 90an. Beliau banyak menggambarkan kisah merantaunya. Ini mungkin kerana kami berasal dari Pantai Remis. Sebaliknya, kisah Mat Isa merantau di Pantai Remis, tidak banyak yang diketahui. Tidak banyak catatan yang boleh dibuat. Kebetulan pulak, masa sudah suntuk untuk ditanyakan berkaitan sejarah TokBu dan anak-anaknya.



Akhirnya kami bergegas ke Sungai Tiang. Rupa-rupanya kami menuju ke Felda Sungai Tiang. Di sana, kami akan ketemu anak saudara (anak Fatimah + Abdullah) Makcik Embun. Anak saudaranya dipanggil Kakcik. Kakcik bersuamikan Ibrahim. Ibrahim dikenali sebagai Paktam Brahim (seorang Bomoh terkenal di kawasan itu). Bangcik Brahim mengenali rakan seperguruannya bernama Wan Mohd Nor. Bangcik Brahim dan WMNor adalah berguru dengan TokAyah di Kelantan. TokAyah adalah kerabat diraja Kedah yang telah disingkirkan daripada takhta. Ini kisah lampau. Banyak kisah yang telah digambarkan tentang TokAyah oleh BangCik Brahim.

Tiba di rumahnya kami berbual sebentar dengan Bangcik Brahim. Akhirnya kami membawa Kakcik ke Kampung Pulau Tengah, Kedah. Kami berhajat untuk berjumpa dengan WMNor. Malangnya, kami tiada rezeki untuk berjumpa. Awal pagi lagi, WMNor dan isterinya telah pergi ke Kelantan untuk bertemu dengan TokAyah. Kami sekadar berjumpa dengan anak WMNor sahaja. Alhamdulillah.


Perjalanan antara Felda Sungai Tiang ke Kg Pulau Tengah, agak banyak wat (kuil Siam) yang dibina. Penduduk Siam di kawasan Kpg Pulau Tengah sememangnya banyak.

Kami pulang ke Felda Sungai Tiang untuk menghantar Kakcik kerana kami akan bergegas semula ke Kg Tok Arang. Di rumah Kakcik, aku dan BangDak cuba merungkai beberapa hal peribadi dengan Bangcik Brahim. Alang-alang udah bertemu dengan Bangcik, laksanakan jer...

Jam 12.30 tghari, kami mula bergerak ke Kg Tok Arang untuk bertemu dengan kenalan BangMad, Pn Nora (bukan nama sebenar atas permintaan empunya diri). Beliau menanti kami di simpang jalan besar untuk memasuki jalan kampung menghala ke rumahnya. Alhamdulillah, CRV hitam tercatuk sedia di birai jalan besar. Kami sekadar mengikuti. Panduan dan arah jalan yang diberikan melalui sms mudah untuk diikuti. Alhamdulillah... terima kasih Pn Nora.



Kami berbual dengan ibunya perihal salasilah WMS (belum disahkan oleh panel penilai di Istana Kedah) sebagaimana yang diketahui. Alhamdulillah...dapat juga maklumat tersebut. Apabila digarapkan, bermungkinan salasilahnya melalui jurai lain (mungkin isteri WMS yang lain dan tiada kaitan dengan TokBu). Moga-moga mereka menemui jurai mereka.

Kami dihidangkan dengan makanan yang 'penuh meja'. Persiapan hanya dilakukan seorang diri sahaja. Sungguh kagum aku padanya. Macam lipas kudung agaknya. Menu yang banyak dengan hanya seorang diri menyediakan juadah. Terima kasih banyak-banyak.

Setelah selesai banyak perkara kami meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam. Alang-alang dah dekat, baik lajak ajer.. Inilah first time aku ke sana. Maklum le 14 tahun di selatan tanah air, tak ada tujuan le aku nak utara...tak gitu?

Sempat juga sediakan baju jersi bola utk Amirul dan Amir dan baju tidur untuk Amira. Ada 'sesuatu' untuk Rozita. BangNdak pula membeli sehelai jersi bola untuk Ahmad.

Malamnya kami ke Perlis untuk tujuan tertentu. Tidak ada yang perlu dinyatakan di sini. Akhirnya kami pulang ke Kampung Lubuk Boi. Kami tidak sempat singgah di rumah Makcik Maznah + Cikgu Saad (telah pencen guru 12 tahun)di Alor Setar. Maaf banyak-banyak pada Makcik Maznah dan Cikgu Saad. Pastinya Cikgu Saad akan cuba memperkenalkan Dato' Dr Hj Wan Shamsudin b Hj Yusuf. Dato' Dr WShamsudin adalah pakar sejarah negeri Kedah. Malangnya hasrat itu tidak kesampaian. Insyallah, panjang umur, kita ketemu lagi ya Makcik Maznah dan Cikgu Saad...

*************************
Catatan :

:: Sehingga hari ketiga, kami masih belum ketemu jawapan berkaitan TokBu dan Mat Saman. Walau bagaimanapun, dalam pencarian itu, sanak-saudara makin terkumpul. Alhamdulillah.

:: Pada jam 11.00 malam, Kakcik memaklumkan pada KakPah bahawa WMNor bersedia untuk bertemu dengan kami keesokannya (hari Selasa) pada jam 2 petang di rumahnya. Juga bersedia untuk menunjukkan buku salasilah Istana Kedah yang disimpannya. Buku tersebut juga ada menghuraikan berkaitan jurai Wan Mat Saman.

Merungkai Waris : Di sinilah bermula - 2


Ahad - 14.02.10

7.30 pagi:

Bermula jam 7.30 pagi, kami dikunjungi saudara Kak Imah yang tinggal di kawasan Kg Lubuk Boi. Kebetulan ada majlis perkahwinan di kampun tersebut. Beliau singgah di rumah Makcik Embun setelah ketahui kehadiran kami. Dari mana maklumat itu beliau ketahui pun, entah la. Alhamdulillah, dapat juga aku kenali saudara Kak Imah (isteri BangNdak) Berbuallah kami sambil sarapan pagi.

Saudara KakImah yang bertandang di rumah Makcik Embun.

Jam 8.00 pagi :

Kak Pah (Arfah) baru pulang daripada majlis kenduri di Langkawi. Beliau sangat-sangat ingin mengikuti untuk merungkai waris di Kedah. Anak-anak Makcin Embun masih meneliti ebook yang diterbitkan khususnya gambar-gambar yang ada.

Bersiap sedia untuk bergerak ke Sungai Petani
8.30 pagi :
Sementara menantikan saudara yang lain (sepupu) bersiap, aku, Azian dan Makcik Embun meninjau-ninjau kubur Mat Saman yang diketahui secara lisan. Kebenarannya juga tidak diketahui kerana ianya adalah maklumat lisan yang disampaikan secara lisan turun-temurun. Juga, kami meninjau kawasan tapak rangka kereta Mat Saman. Ini adalah lisan Makcik Embun. Rangka tersebut adalah kawasan permainan Makcik Embun sewaktu berumur 6-7 tahun. Terlalu lama, tetapi ingatannya masih kuat. Aku kagum dengan ingatannya. Apa-apa pun, sekadar 'kawasan' rangka kereta saja yang ada. Mana mungkin rangka kereta itu akan kelihatan kerana kisah itu puluhan tahun telah berlalu.

Azian yang meninjau kawasan perkuburan (ada 3 buah kubur tidak bernama) di belakang rumah saudara di Kampung Lubuk Boi. Aku sendiri tidak pasti akan kebenarannya. Kubur yang bernesankan 'kayu teras' dikatakan kubur Mat Saman. Wallahualam.

Nisan berkayu teras. Hanya disebelah kaki sahaja yang ada. Di sebelah kepala, entah hilang ke mana. Kepastian yang tidak terjawab akan pemilik kubur itu.

Lokasi bertanda bintang itu dikatakan tapak rangka kereta milik Mat Saman. Itulah tapak permainan Makcik Embun sewaktu berumur 6-7 tahun. Hanya empunya diri lebih ketahui. Generasi sekarang lebih pada mendengar dan membuat catatan.

10.00 pagi :

Kami bertolak ke Sungai Petani dengan dua buah kereta. Aku dan Azian menjadi pemandu. Azian memandu kancil milik KakPah. Kami berenam menuju ke Sungai Petani untuk menemui waris TokAkib. Seronok sangat dapat menemui sanak-saudara di sana. Pelbagai watak dan perwatakan dapat dikenali. Terlalu banyak pengalaman yang terkesan di sana.
Di rumah CuMah, di kelilingi sawah luas terbentang.

Bermula dengan rumah CuMah untuk menunjuk arah ke rumah abang-abangnya yang lain. Di rumah CuMah kami dihidangkan makan tengah hari di bawah pokok. Teringat pula kisah aku kecil yang membawa sepinggan nasi penuh berlauk dan makan dipangkin bawah rumah TokSu bersama dengan Musa, Azam, Sham dan lain-lain. Tu dia aih.. kenangan mengusik jiwa.

Berkelah di luar rumah. Berteduh di bawah pokok sambil menikmati juadah tenagh hari. Sedap karinya..fuhhh..bertambah nasik! Hehehhe

Selepas Zohor, kamu meneruskan perjalanan bersama CuMah ke rumah PakLang Zakaria. Ketibaan tiba disambut mesra. Berbual dengan PakLang Zakaria. Beliau tidak boleh melihat lagi akibat penyakit kencing manis, buah pinggang juga tidak lagi berfungsi. Jalan juga berpimpin. Umurnya sekitar 60-an. Beliau tidak dapat menceritakan perihal sejarah Tok Akib. Kisah awal yang diketahui melalui Makcik Embun bahawa Tok Akib mempunyai isteri bernama TokSom. Tok Akib hanya ada 2 orang anak sahaja. Pengkisahan tentang Tok Akib agak kurang maklumat daripada anak-cucunya.

PakLang Zakaria sedang bercerita sedikit sebanyak tentang sejarah lampau tentang Tok Akib.

Ini berpunca daripada isteri Tok Akib (TokSom) yang tidak banyak menceritakan kisah suaminya. Pasti ada sesuatu yang menarik untuk diteroka. Apabila kisah Tok Akib tidak dapat diceritakan, inikan pula kisah TokBu. Akhirnya sejarah TokBu tidak dapat diketahui.

Akhirnya, PakLang Zakaria menelefon adiknya (PakNdak) untuk hadir ke rumahnya untuk menemui sanak-saudara dari Pantai Remis, Perak. Selepas Asar, barulah PakNdak tiba. PakNdak adalah imam surau di taman perumahannya.

Gabungan PakNdak dan PakNjang juga temui jalan buntu untuk pengkisahan salasilah TokBu dan TokAkib. Akhirnya, PakNdak menelefon adiknya (Makcik Maznah). Makcik Maznah yang berkahwin dengan Cikgu Saad (telah pencen) adalah dalam perjalanan ke Alor Setar untuk pulang ke rumah. Mereka baru pulang menghadiri majlis perkahwinan rakan. Jam 6.30 petang, Makcik Maznah berserta suaminya tiba di rumah PakLang Zakaria. Perbualan kami berkisar sejarah TokAkib. Makcik Maznah agak bermaklumat tentang itu kerana beliau tinggal dengan TokSom (neneknya) sewaktu kecil.

Barulah diketahui bahawa Tok Akib dan TokSom telah berpisah awal perkahwinan (tidak diketahui berpisah hidup atau berpisah mati) dan memiliki 2 orang anak sahaja.

Jam 7.40 petang :

Perbualan diteruskan dari satu topik ke satu topik untuk meneroka ruang-ruang cerita yang ada. Sehinggalah azan magrib bergema, kami semua sembahyang magrib secara berjemaah. Setelah itu, kami menikmati bersama-sama juadah yangdisediakan. Alhamdulillah.
Sembahyang berjemaah dan menikmati juadah makan malam.

Nampak gayanya, penerokaan sebelah TokAkib, tidak dapat merungkai tentang siapakah TokBu dan Mat Saman. Aku kagum dengan semangat Azian, Makcik Embun, anak-anaknya dan saudara mara sebelah jurai TokAkib. Keakraban hubungan antara Jurai Makcik Embun dan jurai Tok Akib benar-benar mengusik jiwa. Sememangnya mereka ketahui bahawa mereka ada kaitan hubungan saudara, tetapi tidak pernah memikirkan di manakah punca 'connection' antara mereka. Pertemuan kali ini memberi jawapan bagaimanakah 'connection' saudara itu tersingkap. Alhamdulillah.




Merungkai Waris : Di sinilah bermula - 1

Beberapa hari sebelum cuti raya Cina pada 14 & 15 Februari 2010, aku dan Azian telah menghubungi Makcik Embun tentang kedatangan kami pada cuti sekolah tersebut untuk meneruskan agenda berfokus tentang 'Merungkai Waris, Merentasi Sempadan'.

Sebelum itu, aku diberi pesanan oleh BangMad dan Teh tentang jazam surah Qursi dan surah Yassin. Alhamdulillah dan terima kasih. Pesanan diikuti. Cuma kekadang, aku suka bergurau...adehhh..

**************************************
13.02.10 - Sabtu

Berbekalkan matlamat berfokus, jam 8.45 pagi aku bergerak dari Tanjong Malim melalui jalan lama ke Bidor untuk terus ke Pantai Remis. Aku akan mengambil Azian untuk menuju ke rumah Makcik Embun di Kampung Lubuk Boi di Yan, Kedah.

Jalan Bidor agak 'jem' kerana cuti raya cina. Hampir 1 setengah jam aku terkandas di sana. Kenderaan bergerak perlahan. Kesabaran teruji.

Tiba jam 12.30 tengah hari di Pantai Remis, Azian memasukkan beg ke bonet kereta dan kami terus menuju ke Kedah. Kenderaan dipandu perlahan di atas highway. Berpandukan GPS Garmin Nuvi, kami terus menuju ke Tol Gurun dan terus ke Kampung Lubuk Boi, Yan Kedah. Setting pada GPS ialah PETRONAS Jalan Yan. Alhamdulillah, rumah Makcik Embun ditemui. Hampir jam 5 petang kami tiba di sana.



Nampak gayanya, di rumah tersebut hanya ada Makcik Embun bersama dengan cucu-cucunya sahaja. Anak-anak Makcik Embun berada di Langkawi kerana ada majlis perkahwinan. Kami berbual seketika kemudan memohon kebenaran untuk meninjau kawasan pelancongan di Yan, Kedah. Alang-alang dah sampai. Jam 5.30 petang, kami mula meneroka kawasan yang menarik di Yan, Kedah.


Sekitar Pantai Murni, Yan, Kedah.
Sempat juga kami 'merasa' Yong Tau Fo di tepi pantai tersebut.


Sekitar kawasan peranginan Titi Hayun, Yan Kedah.

Untuk hari Sabtu (13.02.10), penerokaan kawasan sekitar sahaja yang dilakukan. Walau bagaimanapun, sejauh mana yang kita pergi, semuanya hampir sama saja dalam panorama dan watak perwatakan yang kita temui. Itulah indahnya dunia ini. Warna-warni Kehidupan. Lihatlah sekeliling kita, sama saja....

Sekitar Yan Besar dan Yan Kechil, Kedah.

Malamnya, anak-anak Makcik Embun baru pulang dari Langkawi, kami berbual tentang sanak-saudara yang masih ada. Alahmdulillah, yang pastinya ada 'chemistry' dan kemesraan sewaktu berbual. Itulah tonggak kepercayaan aku akan waris rapat. Alhamdulillah. Mungkin watak aku mengikut watak di hadapan aku. Sesumpah ke aku? Jika watak yang bersopan dan lembut, aku akan lebih pada itu. Jika watak keras dan 'teras', aku juga akan lebih pada itu..bahaya tu! Apa-apun ianya bergantung pada situasi ketika berbual.... Aku akan mencuba perbaiki sikap itu, InsyaAllah.

Malam itu kami mula merancang perjalanan untuk esoknya. Penerokaan terhadap waris TokAkib di Sungai Petani, adik pada TokBu. Kami ingin mengetahui siapakah TokBu dan siapakah suaminya. Manalah tahu jika ada cerita menarik daripada waris Tok Akib. Moga-moga tercapai... Jam 2 pagi kami tidur..Berborak sakan, tiada tembok dalam komunikasi. Masing-masing membuka ruang untuk bercerita dan ketawa bersama-sama. Tiada keseriusan dalam berbual. Alhamdulillah.

YCM : Yayasan Che Mah

Yayasan Che Mah telah ditubuhkan pada tahun 2003 yang lalu. Penubuhannya adalah hasil perbincangan 7 beradik (anak-anak Che Mah + Lin). Anak-anak CheMah yang masih ada ialah :

1. Azizah Lin
2. Mohammad Lin
3. Azizi Lin
4. Rosiah Lin
5. Azmi (meninggal sewaktu kecil)
6. Azian Lin
7. Awang (meninggal sewaktu kecil)
8. Azman Lin
9. Azlan Lin

Anak-anak Che Mah + Lin yang masih ada.

Penubuhan Yayasan Che Mah adalah hasil kata sepakat 7 beradik setelah Che Mah (ibu) meninggal dunia pada 30 Januari 2003 lalu. Setelah mengadakan muzakarah 7 beradik untuk menyatukan hubungan ahli kekeluargaan setelah ketiadaan ibu dan bapa. Penyatuan sebegini sangat penting demi hubungan kekeluargaan. Atas dasar inilah, Yayasan menubuhkan dana hasil aset peninggalan arwah ibu dan bapa bagi menjana dana-dana yang lain. Alhamdulillah, Yayasan tersebut telah bergerak berteraskan visi dan misi penubuhannya.


Jawatankuasa yang mencorak-warnakan perjalanan Yayasan Che Mah (YCM). Gabungan kekuatan dan kelebihan individu menjadi teras perjalanan YCM.

Sedikit latar belakang Jawatankuasa Induk Yayasan Che Mah

******************************************
Keakraban adik-beradik sewaktu kecil seharusnya dikekalkan sehingga ke akhir hayat. Moga-moga keakraban ini akan kekal dan diteruskan oleh generasi berikutnya. Hakikatnya, kepentingan bersama menjadi keutamaan. Insyallah.. semoga diberkatinya.

******************************************
Maka, YCM mengelola Projek Bai'ah Hierarki (Projek BH) yang bertemakan 'Merungkai Warisan, Merentas Sempadan' demi mencari sanak-saudara di mana berada.

E-book - Panduan Bertulis

Hasil pertemuan dengan Makcik Embun dan MakLong Habsah di Pantai Remis, beberapa maklumat asas yang penting telah dicatat dan menerbitkan sebuah e-book asas yang bakal menjadi rujukan waris-waris Mat Saman.

Beberapa persoalan utama telah digarapkan dalam E-book tersebut untuk mencari kebenarannya.

Persoalan-persoalannya ialah:

1. Siapakah watak Mat Saman dan Tok Bu?

2. Di manakah saudara-mara dan waris Mat Saman dan Tok Bu?

3. Apakah benar waris Mat Saman yang masih ada sekarang adalah waris Wan Mohd Saman?

4. Adakah terdapat bukti nyata bahawa waris Mat Saman adalah waris Wan Mohd Saman?

5. Apakah perkaitan karektor anak-anak, cucu dan cicit Mat Saman adalah MEWARIS karektor Wan Mohd Saman?

Kulit e-book yang diterbitkan untuk pengetahuan waris-waris Mat Saman

Terbitan e-book ini adalah sebagai garis panduan bagi memulakan penerokaan. E-book ini diterbitkan setelah perbincangan sesama ahli Yayasan Che Mah (YCM).

Pertemuan pertama dengan waris Kedah

Pertengahan Disember 2009, Azian membawa Makcik Embun dari Kg Lubuk Boi ke Felda Nenering, sempena majlis kesyukuran di rumah Hjh Azizah (kakak sulung). Seterusnya, Makcik Embun dibawa ke Pantai Remis untuk bertemu dengan adik-beradik yang lain.

Terima kasih tidak terhingga kepada Azian kerana berusaha membawa Makcik Embun ke Pantai Remis. Makcik Embun dibawa menziarahi saudara-mara yang lain di Kg Tebuk Yan, Pantai Remis, Perak.

Gambar atas :
Makcik Embun (bertudung hitam) dan MakLong Besah (bertudung putih - sepupu Makcik Embun)

Pertemuan dengan Makcik Embun, tersingkaplah salasilah anak-anak Mat Saman berserta jurai masing-masing. Anak-anak Mat Saman (beristerikan TokBu) adalah lapan orang. Berkonsepkan 'selang bunga' bagi 4 lelaki dan 4 perempuan, susunannya telah ditemui. Alhamdulillah.


Klik di sini.

Jurai Mat Saman + TokBu
(Aku kagum dengan ingatan Makcik Embun yang mampu menceritakan satu-persatu adik beradiknya berserta jurai yang ada)

********************************
Atas dasar perjumpaan inilah, perjanjian pertemuan kedua di Yan Kedah adalah pada Tahun Baru Cina 2010.

Rentetan asas..

Assalamualikum...

Catatan kalam 'Merungkai Warisan, Merentasi Sempadan' bermula di sini. Projek BH ini asasnya untuk mencari waris-waris Mat Saman Hulubalang dan mencari kebenaran bahawa waris Mat Saman Hulubalang adalah waris daripada Wan Mohd Saman, Perdana Menteri (Menteri Besar) Kedah. Selain mencari kesahan fakta ini, waris-waris Mat Saman akan terkumpul secara nyata. Mulakan pencarian....

**************************************

Pertengahan 2009, pertemuan 4 beradik di Pantai Remis telah mencetus pencarian demi pencarian. Bang Mad, Kak Yah, Teh dan Bang Ndak merungkai 'ceritera lisan' arwah emak selama ini iaitu:

'Toknek hangpa adalah Mat Saman Hulubalang Kedah'.

Pertemuan empat orang adik-beradik ini telah menjadi asas untuk merungkai babak sedih yang dilalui oleh Mat Isa dan Abas (anak-anak Mat Saman) di tahun 1890-1900. Babak sedih ini adalah tonggak pencetus Projek Bai'ah Hierarki. Babak sedih ini juga berkonsepkan 'membawa diri' dari Kedah ke Pantai Remis, Perak (Kg Tebuk Yan dan Sungai Batu).

Oleh itu, waris utama di Kg Lubuk Boi, Yan harus diketemui agar cerita lisan jurai Mat Saman terungkap dan dibuat catatan. Azian (Bang Ndak) diberi tanggungjawab untuk mencari waris tersebut kerana Azian pernah ke Kg Lubuk Boi bersama arwah emak di awal tahun 1990-an.

Alhamdulillah, waris utama di Kg Lubuk Boi, Yan telah berjaya ditemui oleh Azian (Bang Ndak). Waris tersebut ialah Makcik Embun. Babak permulaan untuk penerokaan telah berlaku.