*************************************************************
:: UNTUK MAKLUMAN PEMBACA ::


Dengan rasa rendah diri, saya memohon sokongan semua pihak
yang ada maklumat berkaitan Waris Wan Mat Saman
untuk Merungkai Waris, Merentasi Sempadan...

Sila hubungi saya
azlanlinn@yahoo.com

*************************************************************

Thursday, February 18, 2010

Merungkai Waris : Bermulanya di sini - 3

Isnin - 15.02.10

Perancangan hari ini, kami akan merentas ke Felda Sungai Tiang, Pendang dan Kpg Tok Arang, Kodiang.

Jam 8.00 pagi:

Kami menerima tetamu di rumah Makcik Embun. TokNjang, dikirakan saudara sekampung dengan Makcik Embun yang pernah merantau di Kampung Permatang Raja, bersebelahan Kampung Matang Acheh, Perak. Beliau berumur 90an. Beliau banyak menggambarkan kisah merantaunya. Ini mungkin kerana kami berasal dari Pantai Remis. Sebaliknya, kisah Mat Isa merantau di Pantai Remis, tidak banyak yang diketahui. Tidak banyak catatan yang boleh dibuat. Kebetulan pulak, masa sudah suntuk untuk ditanyakan berkaitan sejarah TokBu dan anak-anaknya.



Akhirnya kami bergegas ke Sungai Tiang. Rupa-rupanya kami menuju ke Felda Sungai Tiang. Di sana, kami akan ketemu anak saudara (anak Fatimah + Abdullah) Makcik Embun. Anak saudaranya dipanggil Kakcik. Kakcik bersuamikan Ibrahim. Ibrahim dikenali sebagai Paktam Brahim (seorang Bomoh terkenal di kawasan itu). Bangcik Brahim mengenali rakan seperguruannya bernama Wan Mohd Nor. Bangcik Brahim dan WMNor adalah berguru dengan TokAyah di Kelantan. TokAyah adalah kerabat diraja Kedah yang telah disingkirkan daripada takhta. Ini kisah lampau. Banyak kisah yang telah digambarkan tentang TokAyah oleh BangCik Brahim.

Tiba di rumahnya kami berbual sebentar dengan Bangcik Brahim. Akhirnya kami membawa Kakcik ke Kampung Pulau Tengah, Kedah. Kami berhajat untuk berjumpa dengan WMNor. Malangnya, kami tiada rezeki untuk berjumpa. Awal pagi lagi, WMNor dan isterinya telah pergi ke Kelantan untuk bertemu dengan TokAyah. Kami sekadar berjumpa dengan anak WMNor sahaja. Alhamdulillah.


Perjalanan antara Felda Sungai Tiang ke Kg Pulau Tengah, agak banyak wat (kuil Siam) yang dibina. Penduduk Siam di kawasan Kpg Pulau Tengah sememangnya banyak.

Kami pulang ke Felda Sungai Tiang untuk menghantar Kakcik kerana kami akan bergegas semula ke Kg Tok Arang. Di rumah Kakcik, aku dan BangDak cuba merungkai beberapa hal peribadi dengan Bangcik Brahim. Alang-alang udah bertemu dengan Bangcik, laksanakan jer...

Jam 12.30 tghari, kami mula bergerak ke Kg Tok Arang untuk bertemu dengan kenalan BangMad, Pn Nora (bukan nama sebenar atas permintaan empunya diri). Beliau menanti kami di simpang jalan besar untuk memasuki jalan kampung menghala ke rumahnya. Alhamdulillah, CRV hitam tercatuk sedia di birai jalan besar. Kami sekadar mengikuti. Panduan dan arah jalan yang diberikan melalui sms mudah untuk diikuti. Alhamdulillah... terima kasih Pn Nora.



Kami berbual dengan ibunya perihal salasilah WMS (belum disahkan oleh panel penilai di Istana Kedah) sebagaimana yang diketahui. Alhamdulillah...dapat juga maklumat tersebut. Apabila digarapkan, bermungkinan salasilahnya melalui jurai lain (mungkin isteri WMS yang lain dan tiada kaitan dengan TokBu). Moga-moga mereka menemui jurai mereka.

Kami dihidangkan dengan makanan yang 'penuh meja'. Persiapan hanya dilakukan seorang diri sahaja. Sungguh kagum aku padanya. Macam lipas kudung agaknya. Menu yang banyak dengan hanya seorang diri menyediakan juadah. Terima kasih banyak-banyak.

Setelah selesai banyak perkara kami meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam. Alang-alang dah dekat, baik lajak ajer.. Inilah first time aku ke sana. Maklum le 14 tahun di selatan tanah air, tak ada tujuan le aku nak utara...tak gitu?

Sempat juga sediakan baju jersi bola utk Amirul dan Amir dan baju tidur untuk Amira. Ada 'sesuatu' untuk Rozita. BangNdak pula membeli sehelai jersi bola untuk Ahmad.

Malamnya kami ke Perlis untuk tujuan tertentu. Tidak ada yang perlu dinyatakan di sini. Akhirnya kami pulang ke Kampung Lubuk Boi. Kami tidak sempat singgah di rumah Makcik Maznah + Cikgu Saad (telah pencen guru 12 tahun)di Alor Setar. Maaf banyak-banyak pada Makcik Maznah dan Cikgu Saad. Pastinya Cikgu Saad akan cuba memperkenalkan Dato' Dr Hj Wan Shamsudin b Hj Yusuf. Dato' Dr WShamsudin adalah pakar sejarah negeri Kedah. Malangnya hasrat itu tidak kesampaian. Insyallah, panjang umur, kita ketemu lagi ya Makcik Maznah dan Cikgu Saad...

*************************
Catatan :

:: Sehingga hari ketiga, kami masih belum ketemu jawapan berkaitan TokBu dan Mat Saman. Walau bagaimanapun, dalam pencarian itu, sanak-saudara makin terkumpul. Alhamdulillah.

:: Pada jam 11.00 malam, Kakcik memaklumkan pada KakPah bahawa WMNor bersedia untuk bertemu dengan kami keesokannya (hari Selasa) pada jam 2 petang di rumahnya. Juga bersedia untuk menunjukkan buku salasilah Istana Kedah yang disimpannya. Buku tersebut juga ada menghuraikan berkaitan jurai Wan Mat Saman.

No comments: