*************************************************************
:: UNTUK MAKLUMAN PEMBACA ::


Dengan rasa rendah diri, saya memohon sokongan semua pihak
yang ada maklumat berkaitan Waris Wan Mat Saman
untuk Merungkai Waris, Merentasi Sempadan...

Sila hubungi saya
azlanlinn@yahoo.com

*************************************************************

Wednesday, February 24, 2010

Dato' Hj. Wan Shamsudin Mohd. Yusof adalah seorang sejarawan yang tidak asing lagi di Negeri Kedah. Beliau dilahirkan pada 18 September 1932 di Taiping, Perak. Dato' Hj. Wan Shamsudin merupakan seorang pendidik yang telah bersara daripada perkhidmatan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping pada tahun 1938 hingga tahun 1939 dan di Sekolah Melayu Sik, Kedah, pada tahun 1940 hingga tahun 1946. Kemudian, beliau menyambung pendidikan menengah di UMNO Express English School, Alor Star, Kedah pada tahun 1952 sehingga tahun 1955. Pada tahun 1949 sehingga tahun 1951, Dato' Wan Shamsudin melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak dan meneruskan pengajian ke Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1970, beliau menyambung pengajiannya ke Universiti Malaya sehingga tahun 1973. Dato' Wan Shamsudin memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang pengajian Melayu dari Universiti Malaya.

Kerjaya :

Beliau telah berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah iaitu :

  • Sekolah Melayu Kuala Kupang, Baling (24 Mac 1948)
  • Sekolah Melayu Simpang Empat, Alor Star, Kedah (1951-1959)
  • Sekolah Inggeris Semenyih, Selangor (1961)
  • Sekolah Menengah St. Michael, Alor Star, Kedah (1962-1969)
  • Sekolah Menengah Pokok Sena, Kedah (1973-1979) sebagai Penolong Kanan.
  • Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Star, Kedah (1980-1984)
  • Sekolah Menengah Ayer Putih, Pendang Kedah (1984-1987) sebagai Pengetua.

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Ahli Lembaga Muzium Negeri Kedah (1982 - kini)
  • AJK Perhubungan ANGKASA Negeri Kedah (1982-1996)
  • Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (1985 - kini)
  • Ahli Sahabat Arkib (1987 - kini)
  • Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah / ASASI (1989 - 1991)
  • Ahli Majlis Kebudayaan Negeri (1992 - kini)
  • Ahli Lembaga Koperasi Penulis Utara (1993 - kini)
  • Naib Yang Dipertua Persatuan Amanatul Muslimin Pengkalan Kapal
    (1994 - kini)
  • AJK Persatuan Bekas Pegawai Pendidikan Malaysia Cawangan Kedah (1996 - kini)
  • AJK Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (1996 - kini)
  • AJK Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
  • AJK Koleksi Kedah, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
  • Yang Dipertua Persatuan Wasilah WAN Kedah (1999 - kini)
  • Naib Presiden Persatuan Guru Bersara Kedah (1999 - kini).


Beliau merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Amanatul Muslimin Pengkalan Kapal semenjak tahun 1994.

Beliau menceburi bidang penulisan sekitar tahun 1950-an. Sebagai penulis, pada peringkat awalnya beliau menghasilkan cerpen, sajak, rencana, bahasa, sastera dan sejarah dalam media massa. Beliau sebenarnya lebih cenderung dalam bidang penulisan sejarah. Ini berdasarkan kepada kejayaan beliau menghasilkan buku Sejarah Tanah Melayu yang diterbitkan pada tahun 1966 dan tahun 1968 dan pernah dipilih sebagai buku teks sekolah di negara Brunei Darussalam. Manakala buku Sejarah Sastera Melayu Moden Sejak Tahun 1800 telah diulang cetak sebanyak tiga kali menjadi rujukan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Selain itu, beliau juga menulis di ruangan khas Bulan Ini Dalam Sejarah untuk akhbar Warta Darul Aman, terbitan Kerajaan Negeri Kedah.

Manakala hasil karya beliau terdiri daripada 'Dari Pulau Adang ke Pulau Tiga' iaitu kumpulan artikel yang dipetik daripada majalah, kertas kerja, buku cenderamata dan akhbar, penyelidikan mengenai khazanah kesusasteraan Kedah seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Terung Pipit, Syair Sultan Maulana dan Puteri Lindungan Bulan. Hasil karya beliau yang lain ialah Pemuliharaan dan pendokumentasian dokumen dan manuskrip seperti Hukum Kanun Dato' Kota Setar, Geran-geran tanah Kerajaan Kubang Pasu Darul Qiyam, Panji-panji perang kepunyaan Dato' Pekerma Ali, Dua pucuk surat Sultan Mohamad Jiwa II 1773 dan Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan oleh Kerajaan pingat dan darjah kebesaran, iaitu A.M.N (1983), B.C.K (1985), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1987, B.M.S (1990), Anugerah Karyawan Dedikasi Warta Darulaman 1991 dan 1992, Tokoh Guru Negeri Kedah 1993, Tokoh Guru Kebangsaan 1994 ,D.S.D.K. dan Tokoh Sejarah Kedah 1999.

No comments: